Oleh :

Ustaz Haji Abdul Ghani Samsudin dan

Puan Khadijah A.Razak

Motto:

Ëõãøó ÌóÚóáúäóÇßó Úóáóì ÔóÑöíÚóÉò ãöäú ÇáúÃóãúÑö ÝóÇÊøóÈöÚúåóÇ æóáóÇ ÊóÊøóÈöÚú ÃóåúæóÇÁó ÇáøóÐöíäó áóÇ íóÚúáóãõæäó(18)

Kemudian Kami jadikan untukmu (wahai Muhammad)

satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama;

maka ikutilah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu

orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

Maksud Surah Al-Jaasiyyah ayat 18

Pendahuluan 

Pendidikan Prasekolah ialah pendidikan untuk kanak-kanak berumur 2 hingga 6 tahun. Lumrahnya dalam taman asuhan kanak-kanak dapat bermain dan belajar secara informal, bergaul dengan rakan sebaya, membentuk perkembangan emosi, sosial, fizikal, intelek dan rohani, membina kemahiran berbahasa ibunda dan lain-lain bahasa, berlatih menyesuaikan diri, mendapat amalan kesihatan dan kebiasaan yang baik, mengembangkan potensi diri, mendapat kemahiran asas, meningkatkan pengalaman, menyepuh adirasa kesenian, mengenal kelemahan dan kecacatan diri melalui proses peralihan lingkungan dan sebagainya. 

Dalam peringkat pendidikan seperti ini tentulah memerlukan sukatan pelajaran atau kurikulum yang tersendiri dan khusus. Kurikulum bermaksud segala perancangan pendidikan yang dikehendaki oleh sesebuah prasekolah atau sesebuah institusi pendidikan untuk mencapai matlamat pendidikan. Kurikulum mencerakinkan konsep dan falsafah pendidikan secara lebih terperinci. 

Konsep kurikulum meliputi semua pengalaman, aktiviti, suasana dan pengaruh yang diajukan kepada kanak-kanak samada di dalam atau di luar bilik darjah. Di peringkat prasekolah, kurikulum merangkumi permainan dan aktiviti-aktiviti di luar dan di dalam bilik darjah, merangkumi segala yang berlaku spanjang hari di sekolah. Kurikulum prasekolah adalah suatu yang dirancang dan tidak dirancang (hidden curriculum). Ia adalah pengalaman pembelajaran yang dibekalkan kepada kanak-kanak dalam tahap pembelajaran berkenaan. Kurikulum prasekolah bukan sekadar untuk mendidik kanak-kanak supaya pandai membaca, menulis dan mengira sahaja. Tapi apa yang lebih penting ia perlu dibentuk untuk menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek pertumbuhan diri kanak-kanak ke arah perkembangan yang menyeluruh dan seimbang. Sejajar dengan itu kurikulum pendidikan prasekolah Islam secara umum bertujuan untuk memantapkan akidah Islam meningkatkan kecenderungan kepada ilmu, keimanan dan mencapai matlamat pembinaan insan kamil

Pendidikan prasekolah Islam menampilkan ciri-ciri holistik, lengkap (syumul) dan tidak melihat pendidikan secara serpihan. Secara am peringkat umur kanak-kanak boleh dibahagikan kepada dua. Pertama sebelum dilahirkan dan kedua sesudah dilahirkan yang boleh diperincikan kepada empat peringkat umur iaitu :


a) bayi (0 - 1 tahun)

b) adik tatih (1 - 2 1/2 tahun)

c) adik manja (2 1/2 - 5 tahun)

d) adik cerdik (5 - 6 tahun)

Bidang-Bidang Kurikulum Prasekolah Islam Bestari

Antara perkara yang dititikberatkan oleh sukatan Pendidikan Prasekolah Islam Bestari ialah:

1.Pendidikan Akidah atau Keimanan
 

Secara fitrahnya, kanak-kanak mempunyai sifat semulajadi yang tersendiri dan mereka juga memiliki sifat-sifat yang diperolehi hasil tindak balas dengan persekitaran mereka. Oleh itu pendidikan keimanan harus dipupuk dan diterapkan sejak awal supaya kanak-kanak mendapat pedoman yang betul dan mengarahkan haluan dan pegangan mereka. Pendidikan keimanan bertitik tolak dari pengertian Islam sebagai cara hidup (Islam is a way of life) yang berpegang kepada al-Quran sebagai wahyu Allah yang benar secara mutlak dan menerima Rasulullah sebagai contoh yang terbaik (Ulwan, 1984). Asas keimanan kepada Allah ditanamkan kepada kanak-kanak kerana mengetahui dan beriman kepada Allah merupakan asas agama. Rasulullah SAW bersabda: “Awal agama itu ialah mengenal Allah.” 

Pendidikan keimanan yang asas bagi kanak-kanak Islam ialah memperkenalkan mereka dengan rukun Iman dan Islam. Pada dasarnya pendidikan keimanan diolah dengan memberi pemahaman tentang kewujudan dan kekuasaan Allah. Antara aktiviti dan pendekatan yang digunakan untuk menerapkan asas keimanan termasuklah melatih kanak-kanak menghargai alam ciptaan Allah, melafazkan Syahadah, serta berzikir mengingati Allah. 

Selepas ditanam asas akidah, maka perlu pula diterjemahkan melalui lisan dan perbuatan. Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah apabila disoal tentang iman:

Iman itu ialah membenarkan dengan hati, mengakui dengan lidah dan beramal dengan seluruh anggota badan.

Selain itu, amalam-amalam harian dan aktiviti hafazan wajar dimulakan di peringkat prasekolah. Kanak-kanak mudah mengingati apa yang didengar dan dilihat. Oleh itu pada usia 4-6 tahun, amat sesuai sekali mereka diajarkan dengan doa-doa harian, bacaan-bacaan solat dan surah-surah pendek dalam al-Quran. Terdapat sebuah ungkapan syair Arab yang bermaksud:

“Hafazan sewaktu kecil umpama ukiran di atas batu.”

Ungkapan syair ini menunjukkan bahawa sesuatu yang dihafaz oleh kanak-kanak di waktu kecilnya tidak mudah hilang daripada ingatannya bagaikan ukiran yang terpahat di batu; tidak mudah hilang walaupun dimamah zaman. 

Cara berpakaian kanak-kanak juga perlu dibentuk sejak kecil kerana Islam telah menggariskan panduan khusus tentang cara berpakaian. Asuhan tentang cara penting terutamanya pada zaman kini manusia ghairah mendedahkan aurat. Malah orang tua pun lumrah hendak menunjukkan aurat mereka. Padahal kewajipan menutup aurat sudah jelas dalam nas al-Quran. Oleh itu kanak-kanak harus diasuh supaya berpakaian sopan dan menutup aurat. Wajar diterangkan kepada mereka tentang batas-batas aurat lelaki dan perempuan serta dilatih menutup aurat supaya kebiasaan ini berterusan sehingga dewasa. 

Pendidikan keimanan amat penting diterapkan sejak awal lagi bagi melahirkan generasi yang beriman, berakhlak mulia, berbudipekerti tinggi dan dapat menghayati cara hidup Islam yang sejati. Sabda Rasulullah SAW: “Dosa paling besar yang akan menimpa ibu bapa di akhirat nanti ialah dosa membiarkan anak-anak mereka jahil dan buta agama.”

2.Pendidikan Akhlak dan Moral


Pendidikan akhlak dan moral sangat penting kerana peribadi seseorang individu dipengaruhi oleh cara didikannya sewaktu kecil. Pepatah Melayu ada menyebut ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Kanak-kanak pada usia empat hingga enam tahun mudah mempelajari sesuatu nilai untuk disemaikan ke dalam jiwa mereka. Jika mereka sering terdedah dengan nilai yang buruk, maka tersemailah nilai tersebut dalam diri mereka. Atas dasar ini akhlak mulia perlu disemai dan dipupuk ke dalam jiwa anak-anak supaya perkembangan sahsiah mereka menurut nilai-nilai murni seiring dengan ajaran agama serta sesuai dengan norma-norma masyarakat. Rasulullah sendiri menegaskan bahawa baginda diutuskan untuk mendidik umat supaya berakhlak mulia. Sabda baginda SAW: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Pendidikan akhlak dan moral perlu ditekankan kerana tanpa bimbingan dan didikan yang baik kanak-kanak akan terbiasa dengan sifat-sifat buruk yang tidak diingini. sifat ini akan mempengaruhi peribadi mereka apabila dewasa kelak. Akhlak yang baik jika diterapkan sejak awal akan menjadi perhiasan diri tuannya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Muliakanlah anakmu dengan memperbaiki sopan santunnya.”(Riwayat Ibn Abbas) 

3.Pendidikan Fizikal


Rasulullah pernah bersabda: “
Mukmin yang kuat lebih baik dan dikasihi oleh Allah dari mukmin yang lemah.” Oleh itu perkembangan fizikal harus diberi perhatian penting untuk menjamin perkembangan mental dan intelek. Pendidikan penting untuk melahirkan insan Muslim yang sihat dan kuat supaya mereka dapat menjalankan kewajipan terhadap Allah. Antara perkara yang ditekankan dalam pendidikan ini ialah penjagaan kesihatan yang menyeluruh termasuk kesihatan diri dan tubuh badan, kebersihan persekitaran rumah dan sekolah. Kanak-kanak diajar menjaga kebersihan diri, pakaian, makanan dan minuman. Menurut Ulwan (1984) kaedah makan, minum dan tidur secara Sunnah mempunyai hikmahnya dari sudut kesihatan. Makanan yang seimbang dan halal memastikan pertumbuhan badan yang normal dan bersih rohani dan jasmaninya. Rasulullah mengingatkan dalam sabda baginda: “Setiap daging (otot) yang tumbuh dari makanan yang haram maka nerakalah tempat terbaik untuknya.” 

Selain itu, perkembangan fizikal juga dibina melalui sukan, riadah dan aktiviti-aktiviti gerakan dengan tata susila gerak badan yang dibenarkan oleh Islam. Aktiviti-aktiviti ini lebih menjurus kepada perkembangan psikomotor yang membina koordinasi motor kasar dan motor halus. Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan ialah melompat, berlari, memanjat, membaling dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti ini dapat menguatkan otot-otot badan. Terdapat kata-kata hikmah Arab yang berbunyi: “Pergerakan menguatkan otot.”

Peralatan dan tempat riadah secukupnya perlu disediakan di prasekolah Islam dan guru harus memastikan keselamatan peralatan dan keselamatan kanak-kanak sewaktu menjalankan aktiviti-aktiviti beriadah. Mereka juga harus dilatih supaya berhati-hati dan mengelakkan diri dari bahaya di samping menjaga keselamatan diri sendiri dan rakan sebaya.


4. Pendidikan Intelek/Kognitif
 

Pendidikan intelek dalam Islam diberi penekanan yang seimbang dengan aspek-aspek lain. Tujuan utama pendidikan intelek ialah untuk membina pemikiran kanak-kanak. Dari perspektif Islam, teras pemikiran ini perlu dijalinkan dengan asas keimanan dan batas hukum syarak. Kemudian barulah dikembangkan aspek pemikiran yang mencakupi sebahagian daripada ilmu keduniaan yang bermanfaat, terutama yang dapat membina budaya ilmu dan unsur-unsur ketamadunan selaras dengan tuntutan Islam.

Kanak-kanak kecil perlu disedarkan tentang kewajipan belajar dan menuntut ilmu. Menerusi pemerolehan ilmu secara berperingkat, kanak-kanak dapat diperkenalkan kepada kebesaran dan kekuasaan Allah. Pendidikan intelek juga mengasah dan menajamkan pemikiran kanak-kanak. Antara kemahiran yang ingin diperkembangkan ialah kemahiran membaca, menulis, mengira, menghafaz dan juga kemahiran berkomputer. Selain diajar membaca dalam Bahasa Malaysia, kanak-kanak juga didedahkan dengan tulisan jawi, Bahasa Arab dan Inggeris untuk memudahkan mereka membaca dalam kedua-dua bahasa berkenaan.

Pendidikan intelek yang menyeronokkan serta memberangsangkan dapat membentuk kanak-kanak menjadi pintar dan cerdas, berkemahiran dan berupaya menggunakan kemahiran berfikir untuk menyelesaikan sesuatu tugasan atau masalah selaras dengan syariat Islam. 

5. Pendidikan Kejiwaan/Emosi


Pendidikan prasekolah merupakan detik permulaan kanak-kanak berkenalan dengan suasana persekolahan dan pergaulan yang lebih luas dengan rakan sebaya. Pada ketika ini kanak-kanak belajar berinteraksi dalam spektrum yang lebih luas dari lingkungan keluarganya.

Pendidikan ini bertujuan untuk membina sahsiah yang mampan supaya kanak-kanak dapat berkembang sehingga menjadi mukallaf yang berjaya menghakis segala sifat keji dalam dirinya. Misalnya Islam membenci sifat malu tidak bertempat, takut, hasad dengki, pemarah dan bakhil. Pendidikan emosi ini bertujuan menghakis sifat-sifat mazmumah (terkeji) dan menggantikannya dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji) seperti berani menentang kebatilan, menghormati hak orang lain, menghormati orang yang lebih tua dan saling hormat menghormati antara rakan sebaya dan sebagainya.

Kanak-kanak boleh dipupuk dengan pelbagai nilai akhlak mulia menerusi beberapa strategi pembelajaran, termasuk simulasi, permainan, mendengar cerita dan bercerita. Namun begitu, adalah penting bagi guru memastikan kanak-kanak sentiasa berasa gembira dan selamat ketika di sekolah. Guru harus memastikan kanak-kanak merasa disayangi, dihargai dan tidak disisihkan atau diabaikan. Ini penting untuk menjamin perkembangan emosi yang stabil di kalangan kanak-kanak prasekolah. 

6. Pendidikan Estetika dan Kreativiti 


Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan menyukai kecantikan”. Berpandukan hadis ini, wajarlah diterapkan dalam jiwa kanak-kanak semangat menghargai keindahan. Malahan naluri manusia sendiri memang mencintai keindahan. Di samping itu aktivitimengembangkan daya kreativiti kanak-kanak juga sesuai diselitkan dalam pendidikan prasekolah. Pada dasarnya kanak-kanak sememangnya memiliki daya kreativiti tersendiri. Jadi sewajarnya daya kreativiti ini dikembangkan dengan didikan dan bimbingan yang sesuai.

Pendidikan kreativiti dan nilai estetika dapat membantu kanak-kanak melahirkan perasaan mereka melalui lukisan, kerja tangan dan gerakan. Melalui aktiviti-aktiviti yang terancang, nilai estetika dan kreativiti kanak-kanak bukan sahaja dapat diasah malahan mereka dapat menyatakan ide dan melahirkan perasan dalaman mereka.

Aktiviti pendidikan estetika juga boleh diperkembangkan melalui nyanyian dan nasyid memuji kebesaran Ilahi. Kanak-kanak dapat menghayati irama nasyid di samping mempelajari sesuatu tentang Asma’ ul-Husna, nama-nama Rasul, Rukun Iman dan Islam dan juga peristiwa kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Jelas di sini, aktiviti yang dijalankan untuk pendidikan estetika dan kreatif bukan sahaja dapat meningkatkan bakat yang dimiliki malah menghiburkan dan menyeronokkan kanak-kanak.

7. Pendidikan Bahasa


Bahasa merupakan wahana komunikasi yang paling berkesan. Ia juga merupakan saluran untuk melahirkan perasaan, ide dan pengalaman. Oleh itu kemahiran berbahasa perlu diterapkan kepada kanak-kanak supaya mereka mudah berkomunikasi, berinteraksi dan senang untuk melahirkan perasan serta menceritakan pengalaman seharian yang mereka lalui.

Penguasaan bahasa boleh diperolehi melalui kemahiran mendengar, membaca, bertutur dan menulis. Mereka juga diajar memberikan gerak balas terhadap sesuatu cerita, perbualan dan rentak nasyid. Untuk memantapkan kemahiran komunikasi dan interaksi, kanak-kanak dilatih berbincang, bercerita dan bersoal jawab dengan guru dan rakan. 

Bahasa perantaraan yang digunakan di pusat pendidikan prasekolah ialah Bahasa Malaysia kerana ia merupakan bahasa kebangsaan. Namun pengajaran bahasa lain juga tidak harus diketepikan. Asas Bahasa Inggeris diberikan kerana ia adalah bahasa antarabangsa. Bahasa Arab juga diajar kepada kanak-kanak prasekolah Islam kerana ia merupakan bahasa al-Quran. Bahasa Arab dan bahasa Inggeris yang mudah boleh diajar dengan memperkenalkan kanak-kanak dengan alat-alat persekolahan mereka dalam kedua-dua bahasa tersebut. 
 

8. Pendidikan Ketatanegaraan
 

Pendidikan ketatanegaraan perlu diterapkan kepada kanak-kanak sejak peringkat prasekolah agar mereka mengenali dan menghargai tanahair sebagai anugerah Ilahi. Antara asas ketatanegaraan Islam yang dipupuk kepada kanak-kanak ialah semangat cintakan negara dan perlunya negara ditegakkan atas dasar keadilan untuk mengekalkan keamanan serta mempertahankan negara dari serangan musuh. Kanak-kanak juga didedahkan dengan lagu patriotik, mengenal dan menghormati lagu-lagu jihad kerana mempertahankan negara dari musuh Islam merupakan satu jihad yang besar. 

Kanak-kanak juga perlu dilatih menghormati dan setia kepada kepimpinan Islam. Mereka dilatih mematuhi undang-undang Islam dan peraturan negara yang sesuai dengan syara’. Umpamanya mematuhi peraturan jalanraya dan peraturan institusi prasekolah Islam. Apa yang penting ialah mereka perlu difahamkan tentang kesan yang mungkin berlaku kepada diri mereka dan orang lain sekiranya mereka melanggar peraturan berkenaan. 

Tujuanpendidikan ketatanegaraan ini untuk memberikan asas pembentukan peribadi dan perwatakan yang sempurna supaya kanak-kanak menjadi warganegara yang baik dan berguna kepada masyarakat dan negara selaras dengan kehendak Islam. Kanak-kanak sebagai anggota masyarakat merupakan ‘input’ yang penting kepada pertumbuhan dan pembangunan negara. Ini bererti tiap-tiap kanak-kanak yang ‘dysfunctional’ akan membawa kerugian dan pembaziran kepada negara. 

9. Pendidikan Manipulatif
 

Pendidikan manipulatif merangkumi kemahiran menggunakan komputer untuk meningkatkan daya intelek kanak-kanak. Pelbagai konsep dan kemahiran dapat dipelajari melalui komputer termasuk konsep ruang, masa, simbol dan kemahiran mengenal huruf dan angka. Pada peringkat awal, kanak-kanak didedahkan dengan kemahiran-kemahiran asas menggunakan komputer seperti kemahiran membuka dan menutup komputer serta kemahiran menggunakan tetikus. Malahan melalui program multimedia komputer, kanak-kanak didedahkan dengan program-program yang sesuai dengan usia mereka. Antara program yang boleh diajar ialah pembelajaran membaca al-Quran melalui CD ROM Juzu’ ‘Amma. Melalui CD ROM ini kanak-kanak dapat belajar membaca surah-surah pendek dan belajar menghafaz dengan memilih surah dan ayat yang dikehendaki. Melalui CD Doa Adab Muslim, kanak-kanak boleh dilatih untuk menghafaz doa-doa ma’thur sebagai amalan seharian. 

Jika komputer dilengkapi dengan internet, guru boleh membimbing kanak-kanak melayari tapak-tapak web yang sesuai yang direka khusus untuk kanak-kanak. Pendidikan manipulatif dapat memberangsangkan daya fikir anak-anak dan seterusnya menjadikan pembelajaran sesuatu yang menyeronokkan dan menghiburkan. 

10. Aktiviti Ko-Kurikulum
 

Aspek-aspek pendidikan kanak-kanak yang ingin diberi penekanan dan tumpuan pada peringkat prasekolah Islam ini dapat juga diperkembang dan diperkukuhkan melalui aktiviti-aktiviti ko-kurikulum. Antara aktiviti ko-kurikulum yang dijalankan ialah lawatan ke tempat-tempat bersejarah, zoo, muzium dan lain-lain lagi. Aktiviti bercerita umpamanya dapat memperkembangkan potensi berbahasa, kerohanian , moral serta daya kreativiti kanak-kanak.Aktiviti sukan dapat membantu perkembangan fizikal kanak-kanak di samping memupuk semangat setiakawan, kerjasama, perpaduan, yakin diri serta mewujudkan konsep kendiri yang positif. Aktiviti ko-kurikulum ini akan mencapai tahap yang lebih berkesan jika sekiranya ibu bapa turut melibatkan diri dan memberikan kerjasama terhadap setiap aktiviti yang dianjurkan. Fatimah et.al. (1992) menganjurkan beberapa pertimbangan yang perlu diberi perhatian untuk menjayakan kurikulum prasekolah. Di antaranya ialah:

a)Mewujudkan suasana dan minat bekerjasama antara ibu bapa, pengasuh, pendidik dan semua yang bertanggungjawab terhadap pendidikan prasekolah.

b)Pengasuh dan pendidik mestilah mempunyai pengetahuan, didikan dan latihan yang cukup serta dapat menghayati tugas mereka, di samping mempunyai peribadi yang sesuai sebagai pendidik.

c)Pertimbangan tertentu perlu dibuat terhadap keindividualan dan keunikan sifat kanak-kanak. Kanak-kanak pada peringkat usia 0-6 tahun melalui masa kritikal dalam proses pertumbuhan dan perkembangan yang pesat. Mereka sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk belajar tidak kira ketika, bila dan di mana. Oleh itu ibu bapa dan pendidik mesti sentiasa bersedia untuk mewujudkan suasana positif dalam berinteraksi dengan kanak-kanak.

d)Mengekalkan jiwa keislaman dalam setiap tahap dan aspek kurikulum di samping menentukan sifat dan pelaksanaannya yang holistik. Sekiranya terdapat sebarang penerapan dari luar, ia harus dijalankan dengan berhati-hati dan perlu dibuat pengubahsuaian di mana yang perlu.

 
I.Pendidikan Asas-asas Islam


1. Menanamkan akidah (kepercayaan) kepada kanak-kanak agar:

  • Menyedari dan meyakini bahawa benda-benda lain dan alam penciptanya, iaitu Allah S.W.T.
  • Mentaati suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya
·Memperolehi sikap taqwa dan taat kepada Allah dan Rasul

2.Mengetahui cara-cara beribadat seperti:

·Mengentahui cara-cara beristinja’ dengan menggunakan air

·Melakukan cara-cara berwudu’

·Melakukan cara-cara sembahyang yang betul

·Memahami pesanan-pesanan Allah dan Rasul-Nya terhadap anak-anak

3.Mengetahui dan mengamalkan budi pekerti yang baik dan mulia seperti:

·Menghormati kedua-dua ibu bapa dan orang yang lebih tua.

·Memberi dan menjawab salam.

·Berjabat tangan (bersalaman).

·Mengucapkan terima kasih apabila menerima pemberian orang.

·Patuh kepada suruhan serta larangan ibu bapa dan guru.

·Memberi dan mengambil sesuatu dengan tangan kanan.

·Cara makan yang tertib.

·Menjaga kebersihan.

4.Mengetahui dan mencontohi cerita-cerita dan sirah Rasulullah SAW. 

  • Mempelajari latarbelakang sejarah sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW untuk diteladani.
  • Mempelajari latar belakang sejarah sesudah kelahiran Nabi Muhammad SAW seperti baginda disusukan oleh Halimah Sa’diah, menjadi anak yatim sejak kecil, bekerja menternak kambing semasa kanak-kanak, berniaga semenjak kecil, berakhlak mulia dan sebagainya.
  • Memahami beberapa pesanan Rasulullah SAW kepada kanak-kanak.
  • Menghormati alim ulama’ sebagai pemimpin, menghargai para cendekiawan, ilmuan Islam dan menyayangi mereka.

5. Membolehkan kanak-kanak mengenal huruf al-Quran 
  • Mengenal bentuk, mengecam bunyi dan mengetahui nama huruf Hijaiyyah Arab.
  • Membolehkan kanak-kanak menyelaraskan pergerakan mata dan tangan mengikut bentuk atau huruf Hijaiyyah Arab.
  • Menyebut dan menulis huruf Hijaiyyah Arab.
  • Mengenal baris dan tanda yang ada pada tulisan muqaddam sekirannya kanak-kanak telah bersedia.
  • Memperkenalkan huruf-huruf Jawi 
  • Menghafal surah-surah pendek dan potongan ayat tertentu dari al-Quran.

6. Mengetahui, melafaz dan mengamalkan doa. 
  • Melafazkan dan mengamalkan ucapan-ucapan pada masa yang dikehendaki.
  • Mendengar dan mengikut guru membaca beramai-ramai serta mengenal surah-surah berunsur doa.
  • Melafazkan dan mengamalkan doa zikir (sebutan) pendinding dan lain-lain.
  • Membaca doa sebelum memulakan pelajaran tiap-tiap hari.

II. Perkembangan Pendidikan Kerohanian dan Moral


1. Kepercayaan kepada Allah 

  • Menyedari wujudnya pencipta alam semesta ini.
  • Menyedari bahawa benda-benda di sekeliling ada penciptanya.
  • Mempelajari asas agama Islam.
  • Boleh melafazkan kata-kata kesyukuran kepada Allah S.W.T.
  • Melahirkan rasa sayang kepada Allah S.W.T.
  • Menunjukkan sifat taat kepada suruhan dan perintah Allah S.W.T.

2. Kepercayaan kepada Rasulullah SAW 
  • Menyedari hakikat dan peranan Rasulullah SAW.
  • Menghargai pesanan Rasulullah SAW.
  • Menyayangi Rasulullah SAW dan keluarga baginda.
  • Berselawat memuji baginda dan keluarga baginda.


3. Menyedari kewujudan makhluk-makhluk ghaib seperti malaikat. 

  • Memahami ujudnya malaikat dan peranannya.
  • Memahami ujudnya iblis, syaitan dan tipu dayanya.
  • Mengamalkan bacaan pelindung diri dari gangguan iblis dan syaitan.

4. Sikap bersih dari segifizikal dan mental 
  • Bersih dari segi fizikal seperti kebersihan diri, rumah dan persekitaran, berpakaian bersih dan lain-lain.
  • Bersih dari segi mental seperti tidak ada prasangka, iri hati, cemburu, hasad dengki dan lain-lain.

5. Sikap belas kasihan dan bertimbang rasa 
  • Bersimpati dan empati terhadap orang yang ditimpa kesusahan.
  • Tidak menganiaya orang lain atau haiwan.
  • Mengamalkan semangat tolong menolong
  • Bertimbang rasa terhadap orang lain.

6. Sikap wasatiah (sederhana)

  • Bersopan santun dalam tutur kata dan tingkah lalu.
  • Dapat mengawal perasaan marah.
  • Mengamalkan sifat sabar.
  • Bersifat tolerasi.
  • Mengamalkan sifat jimat cermat.
  • Bersyukur untuk menjauhkan sifat tamak.

7. Sikap adil 
  • Mengamalkan sifat bertimbang rasa dan adil.
  • Berkongsi sesama rakan sebaya dan orang lain.
  • Sanggup menunggu giliran dan lain-lain.

8. Sikap rajin 
  • Menyedari bahawa sikap rajin itu satu amalan kehidupan yang positif.
  • Mengamalkan sikap tekun bekerja.
  • Melakukan sesuatu dengan jujur dan bersungguh-sungguh.

9. Sikap berterima kasih; bersyukur 
  • Bersyukur kepada Allah atas segala kurniaanNya.
  • Menghargai budi dan jasa orang lain.
  • Mengharagai segala layanan yang diberikan oleh ibu bapa, penjaga dan orang lain kepadanya.

10. Sikap berbudi bahasa dan bersopan santun 

  • Tidak sombong dan angkuh terhadap orang lain.
  • Meminta maaf apabila membuat kesilapan 
  • Bersedia memberi kemaafan.
  • Meminta izin sebelum mengambil atau membuat sesuatu.
  • Memberikan salam dalam situasi tertentu.
  • Merendahkan suara apabila bercakap.

11. Sikap amanah 
  • Mengamalkan sikap jujur
  • Mengamalkan sikap amanah dalam pertuturan dan perbuatan.
  • Menunjukkan sikap taat dan setia kepada ibu bapa, penjaga dan guru.

12. Sikap hormat menghormati 
  • Menunjukkan sikap hormat kepada ibu bapa dan orang yang lebih tua daripadanya.
  • Bertegur sapa dengan kawan-kawan dan orang lain.
  • Menerima hakikat bahawa semua manusia berhak menerima layanan yang sama.
  • Menggunakan panggilan yang sesuai dan tertentu (kakak, abang, mak cik, cikgu).

13. Sikap kasih sayang; terhadap insan dan makhluk lain. 
  • Menunjukkan sikap kasih sayang dan mesra kepada ibu bapa, adik beradik, saudara mara, jiran dan rakan sebaya.
  • Menunjukkan sikap sayang kepada haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
  • Mengamalkan sikap sayangkan harta sendiri, hak orang lain dan hak awam.

III. Perkembangan Estetika dan Daya Kreatif


1. Melahirkan perasaan melalui lukisan, kerja tangan dan gerakan 

  • Boleh menconteng dengan bebas.
  • Boleh mengecap bentuk atau simbol yang mudah termasuk khat.
  • Boleh menggunakan warna asas dan warna-warna lain.
  • Boleh menggunakan bahan-bahan yang berbagai-bagai bentuk, tekstur (texture) dan warna.
  • Melahirkan perasaan hatinya menerusi aktiviti melukis, mengecat, membuat model dan menganyam.
  • Melahirkan perasaan hatinya melalui nasyid, nyanyian dan gerakan.

2. Membuat percubaan dengan menghasilkan sesuatu ciptaan daripada bahan-bahan 
  • Boleh mengenal dan menggunakan bahan-bahan yang berbagai-bagai bentuk, tekstur dan warna.
  • Boleh memilih bahan-bahan yang sesuai untuk menghasilkan sesuatu ciptaan.
  • Mengumpul dan menyusun bahan-bahan yang berlainan bentuk untuk melambangkan beberapa bentuk kreatif.

3. Menyuburkan daya kreatif melalui aktiviti lukisan kerja tangan, nasyid, nyanyian dan gerakan. 
  • Boleh menunjukkan daya kreatif melalui lukisan, kerja tangan, moral, lagu, lakonan dan lain-lain.
  • Boleh bernasyid, menyanyi dan menikmati lagu-lagu dakwah.
  • Boleh bernasyid dan menghormati lagu jihad.

4. Mengenal dan menghargai kebudayaan kaum di Malaysia. 
  • Boleh mengenal ciri kebudayaan kaum-kaum di Malaysia.
  • Menyedari Islam adalah agama yang sesuai untuk menyatukan masyarakat majmuk.

IV. Perkembangan Sosio-emosi 


1. Berhubung dengan ibu bapa dan emosi.

  • Menyayangi ahli-ahli keluarga.
  • Mempercayai dan menghormati ibu bapa.
  • Menghormat yang lebih tua, bekerjasama dan bermesra dengan adik-beradik dan ahli keluarga yang lain.

2. Berhubung dengan orang dewasa 
  • Mempercayai dan menghormati guru dan orang dewasa lain.
  • Mahu bercakap dan meminta pertolongan.
  • Memahami dan mematuhi peraturan dan arahan.
  • Mencontohi kelakuan baik guru dan orang dewasa.

3. Berhubung dengan rakan sebaya 
  • Bermain bersama-sama 
  • Berkongsi alat permainan.
  • Menyertai aktiviti-aktiviti kumpulan 
  • Berkomunikasi secara spontan.
  • Bersedia menjadi ketua atau pengikut dalam aktiviti kumpulan.
  • Sedia mendengar percakapan rakan sebaya dan memberi pujian.
  • Bersimpati dan bersikap sabar.
  • Menghormati hak orang lain.

4.Berhubung dengan alam sekitar 

  • Berasa riang, selamat, tenang dan selesa di tadika dan persekitarannya.
  • Menunjukkan keinginan hendak menyiasat alam sekitarnya dan mencari jalan bagaiman hendak menggunakan bahan yang ada.
  • Menyedari dan menginsafi kejadian-kejadian alam.
  • Menyayangi haiwan, tumbuhan-tumbuhan dan benda-benda di alam sekitar.
  • Melindungi alam sekitar dari pencemaran dan kebinasaan.

5. Membentuk konsep kendiri yang positif. 
  • Mempercayai bahawa mereka disukai, disayangi dan dihargai.
  • Menyedari dan menerima kelebihan dan kekurangan diri sendiri.
  • Yakin diri sendiri.
  • Yakin atas kebolehan diri.
  • Berkemahuan memperbaiki prestasi.
  • Menunjukkan sikap berdikari.

6. Membentuk disiplin diri 
  • Mengawal perasaan yang keterlaluan 
  • Mematuhi arahan dan peraturan tanpa diawasi.
  • Melahirkan gerak balas emosi yang sesuai dengan keadaan.

7. Menyedari tanggungjawab sosial dan moral 
  • Menyedari apa yang baik dan yang tidak baik.
  • Meminta maaf apabila melakukan kesilapan.
  • Menghormati kepunyaan orang lain.
  • Mempunyai perasaan tanggungjawab terhadap kebersihan dan kekemasan alam sekitar.
  • Bersedia menolong mereka yang memerlukan bantuan.
  • Rela menerima denda di atas kesalahan yang disengajakan.

8. Membina sikap yang positif terhadap pembelajaran 
  • Suka belajar.
  • Menunjukkan minat terhadap aktiviti yang dijalankan.
  • Tekun membuat sesuatu kerja dan berusaha menyiapkannya.
  • Berkeyakinan menunjukkan kebolehan semasa menjalankan aktiviti prasekolah.

V. Perkembangan Fizikal 

1. Psikomotor; koordinasi motor kasar dan motor halus 

  • Membina otot-otot tangan.
  • Membina koordinasi mata-kaki, mata-tangan, tangan-kaki, otot 

2. Kesihatan:

a) mengamalkan tabiat kesihatan diri

b) mengamalkan tabiat kebersihan alam sekitar

c) membiasakan diri dengan suasana klinik 


3. Keselamatan; diri sendiri dan orang lain 

  • Menyedari dan mengenal keadaan dan perbuatan yang menyebabkan kemalangan dan mendatangkan bahaya.
  • Mengetahui tempat-tempat yang berbahaya.
  • Menolong menjaga keselamatan ala-alat, bangunan dan kawasan tadika.
  • Mengetahui cara-cara mencegah kemalangan dan bahaya.
  • Memberitahu guru, ibu bapa dan orang dewasa apabila diancam bahaya.

VI. Perkembangan Kognitif 


1. Mengetahui persekitaran fizikal 

  • Boleh menamakan objek yang biasa dilihat dipersekitarannya.
  • Boleh menggunakan deria sentuh, lihat, rasa, dengar dan hidu supaya dapat membezakan objek, tumbuh-tumbuhan dan haiwan.
  • Boleh dan mahu bertanya tentang persekitaran fizikalnya.
  • Boleh merekodkan aktiviti dan hasil-hasil pemerhatian dalam bentuk yang mudah.

2. Menyedari dan memperolehi konsep pranombor 
  • Boleh mengumpul dan mengasingkan objek mengikut jenis, bentuk warna dan saiz.
  • Boleh membandingkan objek mengikut pasangannya.
  • Boleh membandingkan objek mengikut saiz, bentuk, warna, kuantiti dan ukuran yang berbeza.
  • Boleh menyusun objek mengikut urutan menaik dan menurun.
  • Mengetahui nilai kuantiti tidak berubah walaupun bentuknya berubah atau bekas yang digunakan berlainan.
  • Mengukur dengan menggunakan tali, kayu atau anggota badan.

3. Mengenal angka 1 - 10 
  • Mengetahui bilangan objek tidak berubah walaupun suasananya berubah.
  • Boleh menyatakan nilai nombor dengan betul apabila bilangan objek ditunjukkan.
  • Boleh menamakan nombor dengan betul apabila simbolnya ditunjukkan.
  • Boleh menunjukkan dan menyatakan bilangan objek yang betul apabila nombor itu disebutkan.
  • Boleh mengambil dan menyatakan bilangan objek yang betul apabila simbol nombor yang berkenaan ditunjukkan.
  • Boleh mengambil simbol nombor yang betul apabila nombor itu disebutkan.
  • Boleh menyatakan kedudukan objek dalam sesuatu siri yang sisusun sebaris seperti pertama, kedua, ketiga, keempat, dan seterusnya.
  • Boleh membilang dalam kumpulan satu-satu, dua-dua, tiga-tiga dan seterusnya.
  • Boleh menambah dan mengurang objek dalam kumpulan objek yang diberikan, mengambil simbol, dan menamakan nombor berkenaan.
  • Boleh mengecam dan meniru bentuk-bentuk nombor.

4. Menyedari konsep ruang 
  • Melakukan sesuatu aktiviti dengan betul dalam keadaan yang melibatkan konsep ruang.
  • Amerompak gambar suaipasang (jigsaw puzzle) yang mudah dan mencantumkannya semula.
  • Meniru corak susunan objek yang mudah dengan menggunakan satu set objelk yang serupa.
  • Meniru lukisan bentuk mudah yang dibuat oleh guru.

5. Menyedari konsep masa 
  • Menyusun sebilangan gambar mengikut urutan masa sesuatu cerita.
  • Menyebut perbuatan mengikut urutan aktiviti seperti mengambil bola, pergi ke almari, membuka almari dan menyimpan bola.

6. Menggunakan simbol 
  • Menggunakan kesemua anggota badan untuk meniru sesuatu gerakan.
  • Menggunakan objek untuk mengambarkan sesuatu benda tertentu.
  • Menggunaan bahan untuk membina model.
  • Melukis garisan dan rajah untuk melambangkan berbagai-bagai objek.

VII. Perkembangan Bahasa 


1. Memperolehi kemahiran lisan; melalui pendengaran dan pertuturan 

  • Mendapatkan pengalaman bahasa melalui pendengaran.
a)Mendengar dengan penuh perhatian.

b)Boleh mengecam perbezaan bunyi atau suara tinggi atau rendah, kuat atau perlahan dan panjang atau pendek.

c)Boleh mendengar dan memberikan gerak balas terhadap sesuatu cerita, perbualan, rima, rentak dan nyayian.

d)Mengenal persamaan dan perbezaan melalui pertuturan.

  • Mendapatkan pengalaman bahasa melalui pertuturan.
a)Boleh bertutur dalam bahasa yang mudah dan senang difahami.

b)Boleh berkomunikasi dengan diri sendiri semasa bermain.

c)Boleh berkomunikasi dengan orang lain.

d)Boleh bertutur dan berbincang semasa membuat aktiviti.

e)Boleh bercerita tentang kejadian dan peristiwa yang berlaku tiap-tiap hari.

f)Boleh bercerita mengenai gambar.

g)Menyedari apa yang dibaca sama dengan yang dituturkan.

2. Memperolehi kemahiran pratulis dan awal tulisan 


3. Memperolehi minat membaca dan membina sikap yang sihat terhadap bacaan.

VIII. Penggunaan Bahasa Malaysia, Arab dan Inggeris 


1. Menggunakan ketiga-tiga bahasa untuk memberikan ucap selamat 

2. Mengenal perkataan yang mudah berkenaan dengan benda yang ada di sekeliling. 

3. Bernasyid lagu yang pendek dan mudah. 

4. Mendengar dan memahami cerita yang pendek dan mudah. 

5.Mengamalkan penggunaan bahasa halus dan bersopan dalam kehidupan

6. Menjawap pertanyaan guru mengenai peristiwa semasa. 

IX. Pendidikan Ketatanegaraan 

1. Mencintai tanahair

2. Menghormati lagu jihad 

3. Menghormati bendera Malaysia dan bendera-bendera negeri. 

4. Hormat dan setia kepada kepimpinan Islam

5. Mematuhi undang-undang Islam dan peraturannya 

6. Mempunyai ukhuwwah Islamiyyah

7. Mengamalkan semangat kemasyarakatan 

8. Menghormati rumah ibadat dan institusi awam. 

X. Pendidikan Manipulatif (Komputer) 


1. Mengenal nama dan fungsi bahagian-bahagian komputer secara umum

2. Memperolehi kemahiran menggunakan komputer 

3. Mempunyai pengetahuan dan kemahiran menggunakan program-program yang sesuai 

4. Boleh meningkatkan pengalaman dan latihan melalui tapak web yang sesuai untuk kanak- 

kanak

Penutup 
 
Sukatan Pendidikan Prasekolah Islam Bestari bukan suatu yang statis. Ia sentiasa boleh berkembang dan ditokok tambah sesuai dengan keperluan semasa kanak-kanak Muslim. Ia boleh diubahsuai sejajar dengan kepesatan perkembangan teknologi informasi, komunikasi dan teknologi penyiaran dalam peringkat-peringkat sejarah yang dilalui oleh umat Islam dan manusia sejagat. Apa yang lebih penting ialah penterjemahannya yang berkesan dalam bilik darjah atau ruang pembelajaran yang disediakan. Kejayaan sesuatu kurikulum terletak di tangan guru prasekolah yang terlatih , berpengalaman dan berdedikasi di samping prasarana yang membantu tugas pengasuh atau guru-guru. 

RUJUKAN

Suwaid, Mohd. Nor (1993) Manhaj al-Tarbiah al-Nabawiyah Li al-Tifl, Dar al-Wafa’, Mesir.

Rumusan Bengkel Prasekolah P.U.M 1996.

Rohaty Mohd Majzub & Abu Bakar Nordin (1992), Pendidikan Prasekolah Kulala Lumpur, Fajar Bakti.

Fatimah Salleh, Khadijah Zon & Zuraida Ismail. (1992). Kurikulum Pendidikan Awal: Ke Arah Pendidikan Holistik. Jurnal Pendidik dan Pendidik, (12), 33-36 



[1]Kertas kerja ini dibentangkan di Kursus Prasekolah Islam Bestari di De Palma Inn, Shah Alam pada20 dan 21 Mei 2000 anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia.

 

<<<<<<Previous!!!! HOME !!!! Next >>>>>>