Assalammualaikum,
   
    
 Pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa Israk dan Mikraj 
 ialah: 

 1. Kuasa Allah S.W.T. adalah tidak terbatas dan Dia boleh melakukan 
 apa sahaja yang dikehendaki oleh-Nya, seperti membawa Rasulullah 
 S.A.W. dari kota Mekah ke Baitul Maqdis dan dibawa mengadap ke hadrat-
 Nya di Sidratul Muntaha di dalam jangkamasa yang begitu singkat, 
 iaitu satu malam. Ini kerana apabila Rasulullah S.A.W. menceritakan 
 tentang peristiwa ini kepada masayarakat umum di Mekah, mereka 
 mentertawakan Rasulullah. Hanya Saidina Abu Bakar As-Siddiq 
 mempercayai kata-kata Rasulullah, dan beliau diberi gelaran "As-
 Siddiq" yang bermaksud "orang yang benar". 

 2. Sebelum Rasulullah di"israkkan, baginda telah menjalani suatu 
 "pembedahan" untuk membersihkan hati, dan dimasukkan unsur rohani, 
 iman dan hikmat. Ini menunjukkan kepada kita bahawa di dalam 
 peringkat pertama untuk bertemu Allah S.W.T., kita perlu membersihkan 
 diri dan jiwa kita daripada pelbagai sifat mazmummah yang tidak baik 
 dan menanamkan sifat mahmudah yang baik. Dengan jiwa yang tenang, 
 penuh keimanan dan ketakwaan akan dibawa bertemu dan mengadap Allah 
 S.W.T. 

 3. Pelbagai peristiwa yang dilihat dan dialami oleh Rasulullah S.A.W. 
 semasa di dalam Israk bersama malaikat Jibrail memberikan gambaran 
 menyeluruh perihal umatnya di bumi ini dalam menjalani kehidupan 
 sebagai khalifah Allah. Ada yang melakukan kebajikan, ada yang 
 melakukan kemaksiatan dan mereka menerima balasan yang setimpal 
 dengan apa yang telah mereka kerjakan daripada Allah S.W.T. 

 4. Allah S.W.T juga telah menunjukkan kepada Rasulullah dan umatnya 
 bahawa iman dan akidah yang teguh merupakan asas kepada sifat 
 keislaman yang sejati dan akan diberi balasan baik oleh-Nya. Ini 
 berlaku kepada tukang sikat Firaun, Mashitah sekeluarga. Walaupun 
 diugut dan dibunuh oleh mereka yang kufur, Allah S.W.T. menganggap 
 pengorbanan itu sebagai suatu syuhada atau jihad kerana 
 mempertahankan agama Allah. 

 5. Orang yang beramal soleh dan berjihad di jalan Allah akan diberi 
 balasan berlipat ganda seperti satu kaum yang menanam dan menuai 
 hasil tanaman mereka yang keluar berulang-ulang kali. 

 6. Rasulullah telah memilih minuman untuk baginda iaitu susu 
 berbanding arak yang ditawarkan oleh Jibrail A.S. Ini jelas 
 menunjukkan bahawa susu merupakan minuman yang berkhasiat dan arak 
 pula minuman yang tidak disukai oleh baginda dan juga Allah S.W.T. 
 kerana ia memabukkan dan akan menyesatkan umat Islam daripada 
 mengingati Allah S.W.T. 

 7. Beberapa tempat yang telah disinggahi oleh Rasulullah untuk 
 mengerjakan solat seperti Madinah, Bukit Tursina dan Masjidil Aqsa 
 adalah tempat yang terpilih dan mulia. Maka jika kita berkesempatan 
 untuk berkunjung ke sana, adalah sunat untuk mengerjakan solat di 
 tempat-tempat tersebut. 

 8. Allah S.W.T adalah Maha Pengampun lagi Maha Mendengar. Bermula 
 daripada perintah agar umat Islam diwajibkan mengerjakan solat 50 
 kali sehari semalam, atas permohonan Rasulullah S.A.W. sebagai 
 kekasih-Nya berulang kali (sebanyak 9 kali), Allah S.W.T telah 
 mengurangkannya kepada 5 kali sahaja sehari semalam seperti yang kita 
 kerjakan sehingga hari ini. 

 9. Surah Al-Fatihah dan Ayat Kursi merupakan ayat-ayat suci Al-Quran 
 yang banyak keberkatannya sekiranya dibaca dan diamalkan di dalam 
 kehidupan seharian. Ini kerana surah ini dinyatakan dengan jelas oleh 
 Allah S.W.T. kepada Rasulullah S.A.W. semasa mengadap-Nya. 

 Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah 
 kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab 
 menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di 
 sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan 
 menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang 
 memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran 
 seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati 
 Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya. 

 Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan 
 dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya 
 daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan 
 Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau 
 tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi 
 Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan 
 memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka. 

 Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang 
 membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah 
 Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan 
 kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam. 

 Mafhum Firman Allah S.W.T.: "Maha Suci Allah yang telah 
 memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke 
 Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami 
 perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. 
 Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-
 Israa': Ayat 1).
 
 
 

<<<<<<Previous!!!! HOME !!!! Next >>>>>>