Jimat Cermat Amalan Mulia

 

 
 
LANGKAH kerajaan meminta rakyat berjimat cermat dan mengawal perbelanjaan adalah baik dan patut disokong. Arahan kerajaan terhadap jabatan dan agensinya supaya mengambil langkah yang sama juga baik dan patut dipuji. Ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan memastikan setiap wang yang dikeluarkan benar-benar dibelanjakan mengikut keperluan.
Amaran keras yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara bahawa tindakan tatatertib akan diambil terhadap ketua-ketua jabatan yang tidak mengamalkan jimat cermat ketika membelanjakan harta kerajaan tidak harus dipandang ringan. Dari perspektif Islam tindakan sedemikian sama ada pemotongan gaji, ditahan kenaikan gaji, diturunkan pangkat atau diberhentikan kerja memang wajar kerana pegawai yang gagal menjalankan amanah dianggap mengkhianati tanggungjawabnya. Orang yang tidak amanah tidak patut disandarkan apa-apa jawatan atau tanggungjawab.
Sebagai orang Islam, kita mesti menerima hakikat ini dengan penuh kesabaran di samping merenung dan menyingkap hikmah yang tersirat di sebalik krisis ekonomi yang melanda. Alangkah besarnya pahala yang disediakan Allah kepada orang yang bersabar. Kesabaran yang jitu dan yakin pada pertolongan Allah akan menyebabkan kita tidak gelabah bahkan sentiasa tenang dengan ujian ini. Di atas keyakinan itu InsyaAllah, Allah akan menghilangkan 'mala petaka' ini sedikit demi sedikit. Pokok pangkalnya kita mesti ingat kepada Allah dan bertakwa kepadaNya.
Firman Allah:
"Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah akan menyediakan jalan keluar baginya (dari segala perkara yang menyusahkan) serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan ingatlah sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya".
Sungguhpun demikian ,sekiranya krisis ini berpanjangan rakyat biasa juga akan turut berasa bahangnya ekoran kenaikan harga barang-barang keperluan disebabkan sedikit sebanyak proses pengeluaran barang-barang ini walaupun dikeluarkan di Malaysia tetapi tetap ada hubung kaitnya dengan dunia antarabangsa.
Apa pun sebagai orang Islam yang yakin bahawa segala ketentuan daripada Allah yang pasti ada hikmah di sebaliknya, amat wajar bagi kita menganalisis isu ini mengikut pendekatan Islam agar kita dapat menemui jalan keluarnya.
Tidak dapat dinafikan selama ini rakyat Malaysia hidup dalam kemewahan dan kesenangan. Punca rezeki datang dari pelbagai sudut sehinggakan kita sendiri tidak sempat menggapai semuanya. Buktinya negara kita dibanjiri dengan pekerja asing ekoran kepesatan pembangunan negara. Barangkali kebanyakan kita terlupa kepada Allah yang memberikan semua kesenangan ini. Oleh itu, kita mesti menyemak kembali di manakah salah dan silapnya kita sehingga kita ditimpa masalah ini.
Allah memperingatkan hamba-hambanya agar jangan boros. Demikian firmannya dalam surah al-Anaam ayat 141 (Dan janganlah kamu melampau-lampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampau-lampau).
Melampau-lampau dalam konteks ayat ini ialah boros iaitu berbelanja secara berlebih-lebihan daripada keperluan sebenar sekali gus mendedahkan pemboros atau pelampau itu kepada pembaziran yang memang tidak disukai oleh Allah.
Kemungkinan kejatuhan mata wang yang sedang kita alami sekarang ada kaitannya dengan sikap boros kita selama ini. Oleh itu, wajar kita melihat fenomena ini sebagai pengajaran daripada Allah sebagai manifestasi bahawa ia tidak sukakan sikap boros dan melimpah ruah wajib bersyukur kepadanya di atas kurniaan itu. Allah berjanji akan menambahkan lagi pemberiannya kepada mereka yang bersyukur.
Firman Allah: 
"Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan niatku kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur sesungguhnya azabku amatlah keras"
(Surah Ibrahim: ayat 7)
Kesyukuran kepada Allah di atas nikmatnya ialah mengeluarkan zakat jika mampu, membantu mereka yang memerlukan, menyalurkan harta pada jalan Allah dan mengelakkan daripada membelanjakannya pada jalan syaitan atau jalan yang tidak disukai oleh Allah.
Orang kaya perlu menyemak kembali diri. Apakah mereka mensyukuri niat Allah yang mereka perolehi atau sebaliknya. Kalau sememangnya mereka tidak bersyukur maka ingatlah itu adalah azab Allah kepada mereka.
Tetapi orang kaya yang bersyukur tetapi turut berasa bahang kejatuhan mata wang ini, maka ingatlah bahawa itu adalah ujian Allah terhadap kesabaran mereka. Mereka hendaklah ingat sekiranya kejatuhan mata wang ini adalah masalah sejagat yang setiap individu pasti merasainya, maka itu adalah bala daripada Allah yang diturunkan kepada semua manusia tanpa mengira sama ada mereka beriman atau pun kufur.
Setelah kita menyedari kesilapan dan kealpaan kita, amat wajarlah kita kembali kepada Allah. Anggaplah semua ini ujian Allah dan berdoalah kepadanya supaya diangkatkan ujian ini kerana doa adalah senjata yang ampuh bagi orang yang beriman. Allah pasti memperkenankan doa hamba-hambanya yang ikhlas dan penuh ingatan terhadapNya.
Namun, kita harus ikhlas. Apabila kita susah kita ingat kepadaNya sedangkan apabila kita senang kita kembali melupaiNya. Orang seperti ini Allah tegaskan dalam ayatNya: 
"Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami (dalam segala keadaan) sama ada ia sedang berbaring atau duduk atau pun berdiri dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya ia terus membawa cara lamanya seolah-olah ia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu). Demikianlah diperelokkan pada pandangan orang yang melampau apa yang mereka lakukan" 
(Surah Yunus: ayat 12)
(Dipetik dari Berita Harian Online Oktober 13, 1997)

<<<<<<Previous!!!! HOME !!!! Next >>>>>>