Make your own free website on Tripod.com
 
Jimat Cermat Amalan Mulia
                                                Rasulullah s.a.w. SEBAGAI PEMIMPIN

Oleh: Hj.Mohd.Shahir Hj.Abdullah
  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

PENDAHULUAN 

Rasulullah s.a.w. telah dibangkitkan oleh Allah untuk memimpin umat manusia di dunia ini ke jalan yang selamat dan bahagia di dunia dan di akhirat. Baginda s.a.w. adalah rahmat dari Allah S.W.T.yang tidak ternilai harganya kepada alam semesta ini,sebagaimana jelas dari firman Allah S.W.T. yang bermaksud: 

“Dan tidaklah kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.
                                                                                                                                   (Al-Anbiya’:107) 

Sebagai seorang Rasul yang diutuskan,darjat ketinggiannya mengatasi pemimpin-pemimpin yang lain. Baginda bersifat ma’sum iaitu terpelihara dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Maka kerana itu,arah dan tujuan yang di bawanya untuk seluruh umat manusia ini adalah benar dan terjamin. Baginda memimpin umatnya ke jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T. iaitu agama Islam. Kini Baginda s.a.w. sudah tidak ada lagi di dunia ini,tetapi umatnya tetap dijamin tidak akan sesat selama mana mereka berpegang dengan pusaka tinggalannya iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Melalui dua sumber ini umat Islam sentiasa terpimpin dalam menghadapi kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini. 

Dalam menyampaikan ajaran dan perintah-perintah dari Allah, Baginda juga memperlihatkan contoh-contoh teladan untuk diikuti oleh umatnya. Berkenaan hal ini Allah S.W.T. telah berfirman: 

Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat,serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” 

                                                                                                                                      (Al-Ahzab: 21) 

Oleh yang demikian, dalam rencana ini kita akan melihat beberapa pengajaran dan contoh teladan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. berkenaan kehidupannya untuk kita jadikan panduan serta ikutan dalam mengisi dan mempertingkatkan keimanan kita bagi memperolihi darjat taqwa yang diharap-harapkan. Maka untuk itu, dibentangkan sebahagian dari bimbingan dan teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. khasnya berkenaan perkara-perkara berikut: 

RUMAHTANGGA 

Keharmonian hidup berumahtangga adalah salah satu faktor utama dalam membina sesebuah masyarakat yang baik dan terhormat. Rumahtangga yang baik dan harmoni ini sukar diperolihi tanpa adanya kerjasama serta saling hormat menghormati antara suami isteri dan lain-lain anggota keluarga. Suami seharusnya berkelakuan baik dan berakhlak mulia dalam mengendalikan rumahtangganya, di samping itu sentiasa memperlihatkan contoh-contoh yang baik dalam pergaulan supaya ianya mudah diteladani oleh isteri dan anak-anaknya. Di dalam rumahtangga, para suami tidak sewajarnya bertindak sebagai seorang yang keras dan bengis yang tahu mengarahkan itu dan ini dan mahukan semuanya tersedia untuknya tanpa memikirkan suasana rumahtangga yang memerlukan kasih sayang,kerjasama dan saling bantu membantu. 

Dalam kehidupan berumahtangga, Rasulullah s.a.w. telah memperlihatkan suatu teladan yang baik yang boleh diikuti oleh seseorang suami dalam mengurus rumahtangganya. Sebagai seorang suami Rasulullah s.a.w. amat bertimbang rasa dan bersedia membantu keluarganya. Banyak kerja yang dilakukan dengan tangannya sendiri, seperti menjahit pakaian, memerah susu kambing dan apabila mahu makan Baginda makan apa-apa makanan yang sedia ada saja. Rasulullah s.a.w. sangat marah kepada suami yang memukul isterinya sebagaimana memukul hamba abdi, sabdanya yang bermaksud: 

“ Tidakkah seseorang dari kamu merasa malu untuk memukul isterinya sebagaimana dia memukul hambanya? Di waktu pagi dipukul isterinya kemudian di waktu malam ditidurinya pula”. 

Di samping Rasulullah s.a.w. menunjukkan panduan dan contoh tentang hidup tolong menolong serta perasaan kasih sayang kepada isteri, Rasulullah s.a.w. juga menunjukkan suatu teladan yang baik khususnya kepada mereka yang mempunyai isteri yang lebih dari seorang. Sebagaimana yang diketahui umum bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai beberapa orang isteri yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Ada yang masih muda dan cantik, dan ada yang sudah berumur. Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. tidak sekali-kali bersikap pilih kasih dalam layanan kasih sayang antara mereka. Masa dan giliran mereka dibahagikan dengan adil serta cukup rapi sekalipun dalam masa Baginda sakit. Apabila Rasulullah s.a.w. hendak musafir, Baginda menjalankan undi antara isteri-isterinya itu dan hanya yang terkena undi saja yang berhak bersamanya. 

JIRAN 

Agama Islam sangat memandang berat tentang masalah berjiran di kalangan masyarakat umat Islam khususnya dan umat manusia umumnya. Islam memberikan perhatian yang sungguh berat ke arah menjalin hubungan yang baik dan harmoni di kalangan masyarakat sesuatu tempat. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah memberi panduan dan ajaran kepada umat Islam supaya mengelakkan diri dari segala sesuatu yang mengelakkan diri dari segala sesuatu yang boleh mencetuskan rasa kurang baik sesama jiran. Dalam salah satu sabdanya, Rasulullah s.a.w. telah menerangkan: 

Maksudnya: “ Tidak akan masuk syurga seseorang yang jirannya tidak merasai selamat dari kejahatannya”. 

                                                                                                                                 (Riwayat Muslim) 

Dalam hadith lain yang telah diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
 
 
 

“ Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya; sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya; dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat. Maka hendaklah dia katakan perkara yang baik atau dia diam”. 

Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. bersabda: 

Maksudnya: “ Tidak beriman dengan aku seseorang yang tidur dalam keadaan kenyang sedangkan dia tahu yang jirannya dalam kelaparan”. 

                                                                                                                                            (Al-Bazzar) 

Maksud dan tujuan dari hadith-hadith yang tersebut adalah jelas untuk mengajar umat Islam supaya tidak menjadi manusia yang mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan kebajikan orang lain. Walaupun pengaruh kehidupan zaman moden sekarang, terutama oleh kemajuan sains dan teknologi, menjadikan seseorang merasai dirinya sudah terlepas dari orang lain, namun tanggungjawabnya sebagai seorang individu muslim tetap kekal dan mesti dilaksanakannya. 

Mengikut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Al-Tabarani bahawa tanggungjawab seseorang terhadap jirannya ada lapan perkara: 

i. Melawatnya apabila dia sakit
ii. Mengiringi jenazah apabila dia meninggal dunia
iii. Membantunya apabila dia memerlukan bantuan
iv. Melindunginya pada masa dia dalam kesusahan dan kepapaan
v. Ucapkan tahniah apabila dia memperolihi nikmat
vi. Ucapkan takziah  apabila dia ditimpa kesusahan
vii. Janagan meninggikan binaan rumah melebihi bangunan  rumahnya sehingga menyekat udara kepadanya, dan
viii. Janganlah menyakitinya dengan bau enak masakan kecuali diberikan kepadanya. 

ADIL 

Keadilan merupakan salah satu tonggak yang terpenting bagi menjamin keamanan dalam sesebuah rumahtangga, masyarakat dan seterusnya negara. Pentadbiran yang dijalankan dengan penuh keadilan tanpa pilih kasih dan beza membeza antara anggota-anggotanya akan menjaminkan keamanan dan keselamatan. 

Sebaliknya, pentadbiran yang dijalankan tanpa keadilan pasti tidak akan berjaya mewujudkan suatu suasana yang aman dan harmoni, terutamanya kepada golongan yang kurang bernasib baik. Berkenaan hal ini, Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sifat keadilan. Adalah diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah menegur tindakan salah seorang sahabatnya yang bernama usamah bin Zaid r.a. yang cuba menolong seorang perempuan dari kalangan bangsawan yang didapati melakukan kesalahan mencuri iaitu supaya hukuman hudud yang dikenakan ke atasnya diringankan. Dengan teguran oleh Rasulullah s.a.w. itu, Usamah insaf dan terus memohon ampun. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: 

“Sesungguhnya sebab yang membinasakan orang-orang yang terdahulu daripada kamu itu ialah kerana apabila orang bangsawan melakukan kesalahan mencuri mereka tidak menghukumkannya tetapi apabila orang yang lemah melakukan kesalahan mencuri, mereka jalankan hukuman had ke atasnya. Demi Allah yang diri Muhammad di dalam kekuasaan-Nya sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri aku pasti akan memotong tangannya”. 

Dalam menegakkan keadilan ini, Rasulullah s.a.w. tidak mengecualikan dirinya dari terlibat sama dengan undang-undang dan peraturan yang ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya. Telah diriwayatkan bahawa pada masa Rasulullah s.a.w. hampir sampai ajalnya, Baginda telah memberitahu orang ramai supaya datang menuntut keadilan darinya sama ada berkenaan harta atau tubuh badan. Dalam hal ini, Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang mendapati bahawa aku telah melakukan sesuatu ke atas hartanya, maka ambillah hartaku ini; dan sesiapa yang telah aku lakukan kekasaran ke atas tubuh badannya, maka aku serahkan diriku ini dan balaskanlah, ketahuilah orang yang lebih utama bagiku dari kalangan kamu ialah orang yang ada tuntutan tersebut lalu diambilnya atau dihalalkan kepadaku; maka dengan itu aku akan menemui Tuhanku dalam keadaan jiwa yang baik”. 

Sebagai seorang pemimpin, Rasulullah s.a.w. memandang manusia ini sama rata tanpa membezakan antara satu sama lain. Manusia pada pandangan Rasulullah s.a.w. adalah sama seumpama samanya gigi-gigi sikat. Dilayani mereka sama saja tanpa memandang sama ada seorang itu kaya atau miskin,  mulia atau hina, tuan atau hamba. Berdasarkan pada sebuah hadith dari Imam al-Bukhari adalah diriwayatkan: 

Pada suatu hari Nabi s.a.w teringat kepada seorang hitam lalu bertanyakan apakah khabar beritanya? Orang ramai menjawab bahawa dia telah meninggal dunia. Baginda bertanya lagi: Mengapakah kamu tidak memberitahu kepada ku? Mereka menceritakan kisahnya dan memperkecilkan kedudukan lelaki itu. Lalu Nabi s.a.w meminta mereka tunjukkan di mana kuburnya dan apabila Baginda sampai di kubur itu Baginda pun sembahyang ke atas nya. 

JIMAT CERMAT 

 Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat berhati-hati dan cermat dalam kehidupannya. Dalam perbelanjaan hidupnya, Baginda memperlihatkan bahawa sekalipun Baginda menguasai sebuah kerajaan Islam yang mampu untuknya berada dalam kemewahan, namun yang ternyata Baginda bukanlah orangnya yang mementingkan keduniaan ini. Baginda mengingatkan umatnya supaya sentiasa berjimat cermat khususnya dalam perbelanjaan sehari-sehari. 

Sumber kekayaan yang dimiliki hendaklah dipergunakan untuk kepentingan bersama membantu golongan yang memerlukannya, bukannya untuk dihabis dan dibelanjakan begitu saja. Agama Islam menentang tabiat dan perbuatan membazir. Menurut al-Quran, orang-orang yang suka membazir itu adalah saudara syaitan. Oleh hal yang demikian, seseorang Islam hendaklah menggunakan hartanya dengan cara yang sebaik-baiknya, kerana perbelanjaan yang dilakukan pada perkara yang tidak disukai oleh Islam amat besar padahnya di Hari Akhirat nanti. Berkenaan hal ini, Rasulullah s.a.w. ada bersabda: 

Maksudnya: “ Tidak berganjak kedua-dua kaki seseorang dari tempat berdirinya di Mahkamah Tuhan pada hari Qiamat sehingga dia disoal tentang umurnya pada perkara apakah dia habiskan, tentang ilmunya untuk apakah dia gunakan, tentang harta bendanya dari manakah dia dapati dan ke mana dibelanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah dia susutkan kemudian dan kecergasannya”. 

                                                                                                                                          (Al-Tirmizi) 

Contohnya pada kehidupan Rasulullah s.a.w. sendiri jelas memperlihatkan betapa dirinya tidak dikuasai oleh nafsu dan pengaruh harta benda keduniaan. Baginda memakai pakaian yang sekadarnya untuk melindungi badan dari bahaya panas dan sejuk, memakan makanan sekadar untuk hidup malah kadang-kadang Baginda tidak makan apa-apa. 

Rasulullah s.a.w. tidak suka kepada orang-orang yang hidup hanya untuk menjamu seleranya saja iaitu tidak ada yang difikirkan selain dari kepentingan perut sendiri. Sifat seumpama ini bukanlah sifat yang layak bagi seseorang muslim. Oleh  yang demikian, Baginda selalu mengingatkan sahabat-sahabatnya supaya suka memberi makan kepada orang lain yang dalam kesusahan dan kelaparan. Baginda pernah menyuruh sesiapa yang ada makanan untuk dua orang hendaklah dimakan bertiga dan sesiapa yang ada makanan untuk empat orang hendaklah dimakan berlima. Dalam hubungan ini Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. pulang ke rumahnya bersama tiga orang dan Rasulullah s.a.w. pulang dengan sepuluh orang. 

RAJIN BEKERJA 

Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang rajin dan kuat bekerja. Terdapat hadith-hadith yang menceritakan penglibatan Baginda dalam menjalankan kerja-kerja bersama-sama para sahabatnya, sekalipun Baginda mempunyai kedudukan yang begitu tinggi dan sangat dihormati oleh mereka. Sejarah menceritakan bahawa dengan tangannya yang mulia Rasulullah s.a.w. bersama-sama sahabatnya bertungkus lumus mengangkat batu bata untuk menyiapkan Masjid Madinah dan demikian juga bersama-sama kaum muslimin bergelumang dengan debu dan tanah dalam menjalankan kerja menyiapkan parit untuk menahan serangan tentera musuh dalam Peperangan Khandak atau Peperangan Ahzab yang berlaku dalam tahun kelima hijrah. 

Dalam suatu peristiwa yang lain, ada diriwayatkan bahawa pada masa Rasulullah s.a.w. dalam musafir bersama sahabat-sahabat, Baginda menyuruh mereka menyembelih kambing. Mendengar perintah itu salah seorang sahabatnya menawarkan diri untuk menyembelih kambing, seorang lagi sanggup untuk melapahnya, seorang lagi sanggup untuk memasaknya dan Rasulullah s.a.w. sendiri pula sanggup mencari kayu api. Walau bagaimanapun para sahabat itu tidak mahu Rasulullah s.a.w. berbuat demikian, mereka sanggup menjalankan kerja mencari kayu api itu. Namun Rasulullah s.a.w. tidak mahu sahabat-sahabatnya mengambil alih kerjanya itu. Dengan jelas Baginda menegaskan: 

“ Saya tahu bahawa kamu menegah saya dari melakukan pekerjaan itu, tetapi saya tidak suka membezakan diri saya dari kamu, dan sesungguhnya Allah tidak suka akan hambanya yang memperlihatkannya berbeza dari sahabat-sahabatnya”. 

Di samping Rasulullah s.a.w. sentiasa memperlihatkan sifatnya yang rajin dan selalu bekerjasama dengan sahabat-sahabatnya, Rasulullah s.a.w. tidak suka kepada orang yang malas bekerja dan hanya mahu meminta-minta saja untuk menyara hidup seharian. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari ada seorang lelaki dari golongan Ansar datang meminta sesuatu daripada Rasulullah s.a.w.,lalu Baginda bertanya kepadanya sama ada di rumahnya ada sesuatu barang yang boleh dijual. Lelaki itu memberitahu kepadanya bahawa di rumahnya ada sehelai kain dan sebiji mangkuk, maka Rasulullah s.a.w. meminta supaya lelaki itu membawa kepadanya barang-barang tersebut. Apabila barang-barang itu dibawa kepada Baginda Rasulullah s.a.w. menawarkan kepada sesiapa yang mahu membelinya. Seorang lelaki menawarkan barang-barang tersebut dengan harga satu dirham, kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kalau-kalau ada yang mahu menawarkannya dengan harga dua dirham, lalu diberikan kepadanya. 

Dengan wang sebanyak dua dirham itu Rasulullah s.a.w. meminta orang tersebut membelanjakan sebanyak satu dirham untuk belanja rumahnya dan satu dirham yang baki lagi untuk membeli sebilah beliung  (Kapak). Kemudian Rasulullah s.a.w. menyerahkan beliung tersebut kepada lelaki itu dan menyuruhnya pergi mencari kayu dan kemudian menjualnya. Selepas lima belas hari kemudian apabila lelaki itu bertemu Rasulullah s.a.w. dia sudah mempunyai wang sebanyak sepuluh dirham. Maka dengan wang itu, setengahnya dibelanjakan untuk pakaiannya dan setengahnya lagi untuk makanannya. 

MENDENGAR NASIHAT 

Walaupun Rasulullah s.a.w. sebagai seorang pemimpin, baik di medan perang mahupun dalam urusan pentadbiran sehari-hari, Baginda bukanlah seorang yang keras kepala yang tidak mendapat pandangan dan buah fikiran dari orang lain. Sejarah telah membuktikan bahawa walaupun Baginda seorang pemimpin besar, Baginda bersedia menerima pandangan orang lain. 

Berkenaan perkara ini, diriwayatkan bahawa pada masa tentera Islam bersiap sedia menentang tentera musyrikin Mekah di medan perang Badar dalam tahun kedua hijrah, seorang yang bernama Al-Habab bin Al-Munzir r.a. telah bertanyakan Rasulullah s.a.w. tentang keputusan menempatkan tentera Islam sama ada ianya perintah dari Allah ataupun suatu taktik perang, lalu diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. bahawa penempatan itu adalah suatu taktik perang. Lalu dia menasihatkan Rasulullah s.a.w. supaya mengambil kedudukan lain yang lebih hampir kepada sumber air dan menimbus lain-lain perigi atau mata air setelah menyediakan takungan air yang banyak untuk kegunaan mereka, dan sesudah itu mereka melancarkan serangan. 

Nasihat ini telah diterima oleh Rasulullah s.a.w. dan kedudukan tentera yang lebih baik ini merupakan salah satu faktor penting yang membawa kejayaan kepada kaum muslimin dalam peperangan Badar yang bersejarah ini sekalipun bilangan kaum muslimin terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah tentera musuh. 

Peristiwa ini menunjukkan betapa pentingnya nasihat dan tunjuk ajar itu perlu diterima walaupun ianya datang dari kalangan orang biasa asalkan pandangan itu benar-benar munasabah dan sesuai untuk sesuatu tindakan. Sikap mendengar nasihat serta mematuhi peraturan bukanlah semata-mata ditujukan kepada golongan mereka yang memimpin, tetapi juga mereka yang dipimpin mestilah mematuhi peraturan dan perintah supaya kejayaan dari sesuatu usaha atau tindakan dapat dicapai. 

Contohnya orang bawahan yang tidak mematuhi perintah pernah berlaku di masa Rasulullah s.a.w. lagi. Kisah ini berlaku dalam peristiwa peperangan Uhud dalam tahun ketiga hijrah. Dalam masa peperangan tersebut, Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan tentera-tentera Islam supaya mempertahankan kedudukan masing-masing sehingga peperangan berakhir,tetapi apabila tentera musuh kelihatan hampir kalah, maka pasukan pemanah tentera Islam telah meninggalkan kedududkan mereka lalu bersegera mengumpul harta-harta rampasan. Disebabkan perbuatan mengengkari perintah inilah maka pihak musuh dapat membuat serangan balas yang begitu hebat sekali, yang meninggalkan kesan yang sungguh pahit dalam sejarah perjuangan umat Islam. 

Dalam masalah mematuhi perintah, seseorang muslim dituntut supaya mematuhi dan mengikuti perintah yang dikenakan ke atasnya sekalipun perintah tersebut bertentangan dengan kehendak peribadinya mahupun kumpulannya selagi perintah itu tidak termasuk dalam perkara-perkara yang berupa maksiat atau derhaka kepada Allah. Dan bukannya sifat seorang beragama Islam kalau semata-mata tidak mahu mematuhi atau mentaati, hanyalah disebabkan berlainan pendirian atau fahaman. Diriwayatkan dari Ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya:
“ Wajib ke atas seseorang muslim mematuhi dan mentaati perintah sama ada yang ia suka atau tidak, kecuali dia diperintahkan melakukan perkara yang maksiat. Apabila dia diperintah melakukan maksiat maka tidaklah wajib ke atasnya patuh dan taat lagi”.
                                                                                                                                                                 (Muttafaq’alaih) 

MAAF 

Di samping sifat adil yang perlu ada pada setiap orang, seseorang itu juga perlu mempunyai sifat mulia yang lain iaitu sifat suka memberi maaf atas kesalahan orang lain terhadap dirinya. Dengan adanya sifat ini, hubungan persaudaraan dan persahabatan lebih terjamin dan dapat mengelakkan sifat dendam yang boleh merosakkan dirinya juga. 

Contoh sifat pemaaf ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang dapat dilihat dari suatu peristiwa yang menarik. Dalam peristiwa ini Rasulullah s.a.w. telah diancam oleh seorang musuh yang menghunus senjata kepada Baginda sambil bertanya siapakah yang akan menyelamatkannya, lalu dijawab oleh Rasulullah s.a.w. bahawa Allah yang boleh menyelamatkannya. Dengan menyebut nama Allah itu, senjata itupun jatuh ke bumi lalu diambil oleh Rasulullah s.a.w. dan sambil menghunuskan kepada musuhnya itu. Ternyata  tiada siapa yang dapat menyelamatkannya lagi, namun begitu Rasulullah s.a.w. telah melepaskannya pergi walaupun dia tidak mahu memeluk Islam, kecuali dia berjanji tidak memerangi Rasulullah s.a.w. dan tidak akan memihak kepada mereka yang memusuhi Baginda. 

Sifat pemarah dan suka membalas dendam selalunya menghalang seseorang dari memaafkan orang lain. Oleh yang demikian, Rasulullah s.a.w. melarang seseorang itu menurut perasaan marahnya, kerana menurut perasaan marah ini boleh mencetuskan permusuhan dan pergaduhan, malah boleh membawa kepada pembunuhan sesama sendiri. Seseorang yang sedang dikuasai oleh perasaan marah hendaklah  mencari jalan mengelakkan diri dari berterusan dalam keadaan sedemikian sama ada dengan berwuduk,duduk atau mengingati Allah. 

AMANAH 

Salah satu sifat kemuliaan peribadi Rasulullah s.a.w. ialah sifat amanahnya. Sifat yang mulia ini telah menjadi darah dagingnya yang terkenal khususnya di kalangan orang-orang Mekah ialah “Al-Amin” iaitu orang yang beramah atau yang dipercayai. 

Umat Islam adalah dituntut oleh agamanya supaya menjadi orang yang beramanah yang dapat memikul tanggungjawab yang diserahkan kepadanya dengan sebaik-baiknya. Rasulullah s.a.w. di samping kehidupannya yang mencerminkan peribadi yang beramanah, Baginda juga mengarahkan umatnya supaya berkeadaan sedemikian. Amanah yang diserahkan kepada seseorang itu amat banyak sekali. Isteri adalah amanah yang diserahkan kepada suami; anak-anak adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa, murid-murid adalah diamanahkan kepada guru, pegawai, kakitangan, buruh dan sebagainya kesemuanya diserahkan tanggungjawab yang merupakan amanah. Malah semua manusia ada amanah yang mesti ditunaikannya. Oleh sebab itu, Allah telah menerangkan bahawa sifat orang yang beriman itu antaranya ialah mereka yang menjaga amanah dan janji-janji mereka. 

Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang yang tidak ada amanah, dan tidak sempurna agama seseorang yang tidak ada janji baginya”.
                                                                                                             (Riwayat Ahmad Ibn Hanbal) 

Setiap amanah mestilah diserahkan kepada mereka yang layak, kerana sesuatu amanah yang diserahkan kepada yang bukan ahlinya akan membawa kerosakan jua. 

PENUTUP 

Demikian sebahagian dari ajaran dan bimbingan Rasulullah s.a.w. yang diajar atau dilakukannya untuk dijadikan contoh dan  teladan oleh kita semua. Sebagai seorang muslim, kita tidak sepatutnya membesar dan menyanjung individu yang lain sekalipun seorang yang dianggap tokoh, kerana lain-lain individu itu tertakluk kepada kekurangan-kekurangan dan kesilapan-kesilapan yang diakibatkan oleh kelemahan diri masing-masing, Pemujaan tokoh dan pendewaannya tidak seharusnya wujud dalam masyarakat umat Islam, kerana bagi kita sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w. sudah mencukupi untuk dicontohi dan diikuti. Malah kecenderungan memuja dan mengagong-agongkan seseorang tokoh, kadang-kadang telah terpesong sehingga membawa kepada penyelewengan dalam ajaran Islam. 

Semoga dari pengajaran dan contoh teladan Rasulullah s.a.w. yang dibentangkan ini menjadikan kita semakin tunduk dan patuh kepada segala ajaran Allah dan Rasulnya. Maksudnya: “Wahai Tuhan kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut Rasul-Mu; oleh itu masukkanlah kami kedalam golongan orang yang menjadi saksi yang mengakui keesaan-Mu dan kebenaran Rasul-Mu”.
   (Ali-Imran : 53)

<<<<<<Previous!!!! HOME !!!! Next >>>>>>