Make your own free website on Tripod.com
 
Pasangan Hidup Peristiwa Nabi Adam, Hawa perlu jadi iktibar
 
 

NABI Adam dan iblis laknatullah adalah dua jenis makhluk ciptaan Allah untuk
menghuni alam yang fana (tidak kekal) ini. Kedua-duanya diciptakan oleh
Allah menggunakan unsur berbeza.

Adam diciptakan daripada tanah, manakala iblis dijadikan daripada api.

Pada mulanya, kedua-dua makhluk ini ditempatkan di Syurga tetapi akibat
keengganan mematuhi perintah Allah, maka mereka dimurkai Allah dan
diperintah turun ke dunia.

Bagaimanapun, Adam dikurniakan beberapa kelebihan dan kedudukan istimewa di
sisi Allah. Kelebihan itu dijelaskan Allah dalam surah al-A'raf ayat 11
hingga 25.

Berdasarkan ayat itu, Nabi Adam dikurniakan kelebihan berikut :

l Nabi Adam diberi ilmu pengetahuan melebihi malaikat.

l Allah memerintah malaikat, jin dan iblis supaya sujud kepada Nabi Adam.

l Nabi Adam dan isterinya (Hawa) ditempatkan dalam syurga dan diberi
kesempatan untuk makan buah-buahan di dalamnya.

Bagaimanapun, kelebihan dan keistimewaan kurniaan Allah kepada Nabi Adam
terbatas.

Perkara ini diterangkan oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Hai Adam!
Tetaplah engkau tinggal bersama isteri dalam syurga. Makanlah engkau berdua
makanan yang engkau kehendaki. Jangan sekali-kali engkau mendekati pokok
kayu ini (pokok khuldi). Sesungguhnya engkau akan termasuk dalam golongan
yang zalim." (Surah al-A'raf : ayat 19).

Iblis pula adalah bapa kepada sekalian syaitan dan makhluk yang terlalu
banyak dipengaruhi hasad dengki, tamak dan takabur. Sikap dan perlakuan
iblis itu terbukti apabila ia (iblis) menolak arahan Allah supaya sujud
kepada Nabi Adam. Keengganan iblis mematuhi perintah Allah disebabkan ia
menganggap kejadiannya lebih mulia daripada Adam. Adam dijadikan daripada
tanah sedangkan dirinya dijadikan daripada api yang disangkanya lebih hebat.

Sikap sombong iblis itu dimurkai Allah lalu menghalaunya turun dari syurga.
Perkara itu dinyatakan Allah dalam firman-Nya bermaksud : "Turunkan engkau
(iblis) dari syurga. Tidak patut engkau sombong dalamnya. Keluarlah engkau
dari dalamnya. Sesungguhnya engkau termasuk ke dalam golongan yang hina dan
rendah." (Surah al-A'raf : ayat 13).

Adam dan Hawa tinggal dalam syurga dalam keadaan senang dan bahagia. Keadaan
ini menyemarakkan lagi perasaan hasad, dengki dan cemburu iblis.

Perasaan itu mendorong iblis untuk memperdayakan Adam dan Hawa dengan
memujuk serta merayu mereka berdua supaya menghampiri dan memakan buah
larangan Tuhan.

Usaha iblis yang gigih dan tidak mengenal putus asa itu, akhirnya berjaya
menyebabkan Adam dan Hawa terpengaruh lalu memakan buah yang dilarang oleh
Allah.

Balasan Allah kepada Adam dan Hawa yang melanggar perintah-Nya itu
dijelaskan dalam al-Quran. Firman Allah yang bermaksud : "Turunlah kamu!
Sebahagian kamu dengan yang lain bermusuh-musuhan. Kamu boleh tinggal di
atas bumi dengan bersuka ria sehingga sampai ajalmu."

Di dunia, Adam dilantik menjadi Nabi dan baginda adalah Pesuruh Allah yang
pertama yang ditugaskan menyampaikan syariat Islam.

Peristiwa yang berlaku kepada Nabi Adam dan iblis ini hendaklah dijadikan
pengajaran dan wasiat kepada diri sendiri serta anak cucu.

Di antara perkara yang boleh diambil pengajaran dari peristiwa itu ialah:

l Janganlah terpengaruh dengan kenikmatan hidup di dunia ini. Berkenaan
kisah Nabi Adam dan iblis, kita dapati Baginda telah 'menambatkan' hati
kepada kehidupan yang penuh nikmat dalam syurga.

Lantaran itu, maka Nabi Adam di atas desakan isterinya terpengaruh oleh
iblis akhirnya memakan buah yang ditegah oleh Allah. Akibatnya baginda
dikeluarkan dari syurga dan ditempatkan di dunia, meskipun Tuhan memaafkan
kesalahan itu. (Peristiwa ini berlaku sebelum Adam diisytiharkan sebagai
rasul).

l Jangan kita terpengaruh atau mudah mengikut kehendak hidup (hawa nafsu)
isteri tanpa terlebih dulu memikirkan kebaikannya.

Nabi Adam menyesal perbuatan Baginda yang terlalu mengikut kemahuan
isterinya supaya memakan buah yang terlarang dalam syurga.

l Fikirkan dengan teliti sesuatu pekerjaan yang akan kita lakukan supaya
tidak akan menerima akibatnya.

l Apabila hati masih bergoncang dan tidak tetap ketika hendak melakukan
sesuatu pekerjaan atau tindakan, maka tinggalkan atau berhenti saja.

Nabi Adam memakan buah terlarang dalam syurga ketika hatinya masih ragu.

l Berbincang dulu sebelum melakukan sesuatu urusan. Nabi Adam mungkin
terhindar dari akibat yang perit jika Baginda berbincang dengan malaikat
sebelum bertindak memakan buah yang sudah dilarang oleh Allah.

Peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Adam dan Hawa ini diharap dapat
dijadikan pengajaran, panduan dan teladan dalam menempuh liku hidup
seharian.
 
 
 

 

<<<<<<Previous!!!! HOME !!!! Next >>>>>>