Assalamualaikum wbt 

 Bagaimana menghilangkan Marah 

 Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego 
 seseorang lagi besar marahnya. Ini berkaitan pula dengan kedudukan 
 seseorang. Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak 
 hartanya, ramai pengikutnya, maka akan tinggilah ego seseorang dan akan 
 menjadi-jadilah pemarahnya. Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka akan 
 kuranglah egonya dan akan kurang jugalah 
 pemarahnya. 

 Sifat pemarah ini ada pada hampir semua orang seperti juga hasad dengki. 
 Kenapa kita mesti marah ? Telah berkata Mujahid di dalam sebuah bait syair 
 : "Takdir Allah telah putus dan putusan Allah telah terjadi. Istirehatkan 
 hati dari kata-kata "Barangkali" dan "Kalau". 

 Setiap kelemahan dan kesilapan manusia adalah ujian untuk kita. Allah mahu 
 melihat bagaimana sabarnya kita dan malunya kita kepada Allah dengan 
 mengucapkan " Inna lillahi wainna lillahi raji'un.". 
 Pernah ditanya Ahnaf bin Qais, bagaimana dia boleh mengekalkan sifatnya 
 yang lemah lembut itu. Ahnaf menjawab : " Aku belajar dengan Qais bin Asim 
 iaitu pada satu hari sedang berehat-rehat, masuk hambanya membawa panggang 
 besi yang berisi daging panggang yang masih panas. Belum sempat daging itu 
 diletakkan dihadapan Qias, tanpa sengaja besi pemanggang yang panas itu 
 jatuh terkena anak kecil Qais. Menjerit-jeritlah si anak, kesakitan dan 
 kepanasan sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat peristiwa itu dengan 
 tenang berkata kepada hambanya yang sedang pucat dan menunggu hukuman " Aku 
 bukan sahaja tidak marah kepada kamu tetapi mulai hari ini aku akan 
 membebaskan kamu." Begitulah sopan santunnya dan pemaafnya Qais bin Asim" 
 Kata Ahnaf mengakhiri ceritanya. 

 Bukannya Qais tidak menyayangi anaknya tetapi Qais memandang segala 
 kejadian itu adalah dari Allah. Jikalau dia bertindak memarahi hambanya, 
 maka hakikatnya dia memarahi Allah. Dia redha dengan ujian yang ditimpakan 
 kepadanya. Tidak ada di dalam kamus hidupnya perkataan kalau atau 
 barangkali. Hatinya tidak terasa dia " tuan" kerana apa yang ada padanya 
 dirasakan amanah dari Allah. Yang bila 
 sampai ketikanya Allah akan ambil kembali. 

 Kita mesti ubati hati kita. Kita kita mesti membuangkan rasa rasa 
 "ketuanan" kita yang menyebabkan kita menjadi pemarah dengan melakukan 
 mujahadatun nafsi. Di antara langkah yang perlu kita hadapi untuk 
 menghilangkan marah ialah : 

 a) Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s.w.t akan segala tindak-tanduk 
 kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita. 

 b) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang 
 hina. 

 c) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan 
 kita daripada sifat marah. 

 d) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa 
 kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi. 

 e) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya 
 lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam 
 keadaan yang marah. 

 f) Apabila datang marah, banyakkan baca Ta'awwuz ( A'uzubillahi minas 
 Syaitanirrajim) kerana marah itu datangnya daripada syaitan. 

 g) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu keranawudhu dapat menenangkan 
 api kemarahan yang sedang membara. 

 h) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah 
 tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada 
 tidur 

 i) Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan 
 akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah. 

 Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah 
 orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi. Tegurlah 
 dengan lemah lembut dan kasih sayang. 



 
 

<<<<<<Previous!!!! HOME !!!! Next >>>>>>